Wednesday, 1 April 2015

Tips Memilih Hijab




Ramai yang masih keliru dalam memilih jenis kain selendang yang sesuai untuk dipakai. Ada yang memilih atas dasar kualiti dan ada juga kerana harganya. Kebanyakan selendang mempunyai kualiti yang berbeza mengikut harga dan itu yang mempengaruhi seseorang untuk membeli, walaupun pada asalnya tidak mengetahui bagaimana cara memakainya.

 

Jadi, perlu diingat, memilih selendang atau tudung perlu dilihat pada keselesaan kita untuk memakainya, bukan hanya pada material ataupun harga. Ayuh kita ikuti tip ini untuk anda lebih memahami kelebihan jenis selendang yang anda ingin beli.

 

1. Kapas (Bawal)

Apabila melihat selendang jenis ini kembali berada di pasaran, teringat pula zaman persekolahan. Selendang jenis ini mudah digayakan kerana daripada jenis kain kapas dan punyai gred. Ia mudah dibentuk pada wajah dan bersifat sejuk dan terletak kemas saat digayakan. Biasanya ia berbentuk empat segi sama dan boleh digayakan dengan pelbagai gaya.

 

2. Sifon

Wah, anda dikatakan seorang yang berani jika memilih untuk memakai selendang daripada jenis kain ini. Ia bersifat licin dan terlalu sensitif. Perlu dijaga rapi. Tetapi untuk memakainya, ada caranya. Pastikan anda gandingkan dengan anak tudung jenis kapas pada bahagian dalam agar selendang ini tidak mudah lucut daripada kepala. Jika rajin, gunakan pin yang lebih untuk kemasan. Selendang jenis ini sangat sesuai untuk majlis-majlis rasmi.

 

3. Denim

Kain yang menjadi kegilaan sesetengah pemakai hijab. Ia kelihatan agak ranggi, namun masih sopan. Bersifat sejuk dan mudah digayakan.

 

4. Lycra

Ada satu ketika, kain selendang jenis ini menjadi rebutan ramai. Ia mudah dijaga dan tidak perlu digosok. Penggayaannya pun lebih mudah dan kerana kain selendang jenis inilah terciptanya ikatan tudung tanpa pin ataupun peniti.

 

5. Satin

Selendang jenis ini juga agak sukar untuk digayakan. Tetapi kelihatan mewah dan feminin. Jika dililit di kepada, akan kelihatan kemas dan terletak. Jadi, jadikan selendang jenis ini salah satu koleksi anda.

 

6. Kait

Lebih mudah jika memilih untuk menggayakan tudung jenis kait kerana tidak memerlukan penjagaan rapi dan penggayaan lebih ringkas dan bebas. Cuma perlu disertakan dengan inner neck agar tidak menampakkan rambut ataupun tengkuk ketika memakainya. 


Monday, 30 March 2015

Glitter shawl trend terkini kegilaan remaja


Glitter Shawl
Glitter Shawl

Jika sebelum ini, pilihan-pilihan tudung seperti Syria, pashmina, bawal yang menjadi ikutan, tiba masa  untuk ‘glitter shawl’ pula menjadi trend terkini untuk dunia fesyen wanita muslimah. Siapa yang tidak pernah dengar mengenainya… pergi sahaja ke butik-butik tudung, malah di kedai-kedai biasa pun ada terjual selendang ini. Bagi anda yang sudah memiliki koleksi selendang ini, mari baca untuk tahu cara sesuai mengayakan selendang  berkilau ini.

Tidak seperti selendang lain, selendang ‘glitter’ ini agak menarik perhatian ramai apabila anda mengenakannya. Ini kerana,  fabriknya yang penuh berkilau melitupi keseluruhan permukaan tudung. Pasti sahaja tidak semua berani menggayakan tudung ini. Jika silap cara, anda mungkin akan dilihat seperti pokok Kristmas pula.

Sedar atau tidak, penampilan seseorang akan kelihatan agak berat dengan selendang ini dan mungkin  juga ada yang berpendapat bahawa tudung ini hanya sesuai digayakan ketika ke majlis tertentu sahaja. Akan tetapi, kenyataan ini tidak benar sama sekali. Jika anda ingin mengenakan selendang ini untuk ke kelas, pastikan warna selendang bukanlah daripada warna-warna panas seperti merah, gold, silver, atau kuning. Warna-warna ini sudah pun mempunyai kekuatannya tersendiri ditambah apabila dipadankan dengan fabrik ‘glitter’ ini, penampilan untuk ke kelas dilihat kurang sesuai. Sebaliknya pilihlah warna  pastel seperti biru laut dan cream.

Pastikan juga baju anda tidak mempunyai corak yang keterlaluan. Ia bakal mencacatkan keseluruhan penampilan anda. Elakkan juga dari memakai perhiasan tangan yang sarat serta warna baju yang terlampau terang. Anda pasti tahu mengapa.  Pemilihan baju berasaskan warna gelap adalah pilihan yang sesuai.

Khas buat anda yang ingin menggayakan selendang ini ke majlis-majlis tertentu, penggunaan warna-warna mewah seperti gold, silver dan merah hati, adalah pilihan yang tepat. Hal ini kerana ia bakal menaikkan seri anda sekali gus menjadikan anda perhatian ramai. Tetapi, awas! Jika selendang sudah bergemerlapan, pastikan baju anda tidak mengadungi unsur-unsur yang sama. Penampilan anda akan kelihatan sangat berat dan mungkin juga ada yang akan sakit mata apabila melihat anda nanti. Maklumlah, dari atas hingga ke bawah dipenuhi dengan kilauan. Sebaliknya cuba untuk meminimakan pemakaian baju yang sarat juga aksesori yang pelbagai.

Jika anda pernah mendengar ungkapan, ‘simple is better’, ha..mari kita bergaya simple dengan ‘glitter shawl’ ini.

sumber: Majalah Dara

>> www.madeenda.com

Friday, 27 March 2015

Laksana Amanah Jangan “U-TURN”

Amanah Menghambatku
Bingkisan kali ini lebih kepada peringatan kepada diri ini. Terimbau terngiang-ngiang saat itu. kata-kata ini bergema memenuhi runag dewan pada pagi itu,

“Untuk jawatan……… disandang oleh ………………………………”.

Tika itu semua mata memandang ke depan mencari-cari pemilik nama yang disebalik namanya bererti ‘kegembiraan’. Orang lain kelihatan gembira, tetapi tidak pada pemilik nama itu. Debar dihatinya hanya pemilik hati ini yang Maha Mengetahui. Melangkah kaki tanpa sikit pun menoleh kiri kanan hanya mata tertumpu melangkah ke depan.

Saat itu hanya Allah mengerti betapa hati ini berbaur rasa. Ini jalan yang dipilih. Tiada lagi istilah mengundur atau turning back mahupun U-Turn . Yang ada hanya satu iaitu mengalas tanggungjawab hingga ke akhir mercu. Pada awal,  berdiri di depan ramai umat manusia pertama-tamanya tentu berasa gemuruh, namun lama kelamaan jika perasaan itu dilontar jauh pasti kegusaran itu dapat diatasi dengan mudah. Semuanya bermula dengan ‘mind setting’ kita sendiri.

Ya, mind setting’. Boleh kita ambil umpama seorang yang demam, bila demamnya itu diberat-beratkannya, mukanya dipermuram-muramkan nescaya demam akan bertambah tetapi kalau dilawannya dengan berkata “Ah, aku tidak demam”, dengan sendirinya demam itu beransur hilang sebelum pun sempat menjadi berat.

Begitu juga seorang pengecut, cubalah lawan perangai itu walaupun hati berdebar-debar. Jalankan akal, apa sebabnya saya takut begini? Mula-mula pastinya jantung berdebar tika cuba memberani-beranikan diri tetapi nanti setelah menjadi kebiasaan debar jantung itu akan hilang sendiri.
Jika hendak melatih diri agar punya keberanian sengajakan diri menempuh bahaya yang ngeri seperti mengukur hebatnya seorang pelayar lihatlah lautan yang dilalui, ditempuhnya lautan ketika ombak dan gelombang besar maka tentu berani itu dalam kalbunya.

Jangan Bermegah, Laksana Amanah
“Amboi dah jadi exco sekarang dah mula berlagak ye. Bangga, sombong, ujub ……” Antara lafaz kata seorang pensyarah kepada diriku dengan niat gurauan.

Namun di sebalik gurauan itu memberi makna tersirat yang menyentak pemikiran lalu menyentuh kalbuku. Itu bukan sekadar gurauan tetapi berupa peringatan. Sifat ujub bangga antara sifat yang merosakkan bukan sahaja hati tapi seluruh kehidupan pengamalnya.
Merasa puas diri sendiri.

Disangka diri sudah sangat cukup dan sempurna. Perangai begini membawa lupa akan kekurangan diri dan ingat akan kekurangan orang lain. Janganlah sifat ujub ini menjalar ke dalam diri, menyangka bahawa segala sesuatu tidak akan sempurna kalau kita tiada. Sebab kita itu pun tidak akan sempurna kalau tidak dengan orang lain. Keutamaan tidak cukup diberikan Allah kepada satu orang tetapi berbagi-bagi.

Laksana kita ingin memasak makanan yang lazat tidak akan berasa jika cili hanya membanggakan pedasnya, garam membanggakan masinnya, cuka yang membanggakan masamnya, ikan yang membanggakan enaknya sendiri. Jika segala kepedasan, kemasinan, kemasaman, dan keenakan itu dikumpulkan dalam satu belanga, dimasak dengan tangan yang ahli, barulah menjadi makanan yang menjilat jari.

Hamparan Harapan, Emasnya Ikhlas
Bila bercerita mengenai harapan, teringat pula bait-bait lagu yang menjadi halwa telinga sekitar 80-an “Harapan setinggi gunung”. Jika diselami maksud bait lirik itu tentunya tinggi harapan orang itu. Masakan tidak tinggi jika telah disamakan harapan dengan gunung. Hendak mendaki gunung perlu keringat yang memecah peluh hingga baju terpaksa kita perah.

Harapan orang tentunya menggunung pada pemegang tangungjawab tetapi lebih berat lagi bahu yang menggalasnya. Memberi harapan pastinya sedikit sebanyak akan terikat dengan janji. Resmi manusia, mengikat janji mudah sekali tetapi memantri kata untuk dikota payah sekali umpamanya bila sebelum kita mendapat duit, janji itu ini, pada kawan dijanji mahu belanja makan, pada emak berkira-kira mahu menghulur beberapa keping not, itu ini mahu dibeli tetapi bila mana duit digenggami disimpan kemas dalam peti. Melupakan semua janji yang kita taburi, sudahnya airmata yang menjadi galang ganti. Itu dikira masih baik lagi, jika dihambur caci maki tentulah lagi menyakitkan hati,  alamatnya hingga nafas terakhir perasaan bersalah membaluti diri.

Memikul jawatan ini diri tidak menabur janji apatah lagi menghamparkan harapan. Hanya satu menjadi pegangan, melakukan semua ini dengan ikhlas. Mahu mengikhlaskan hati ini ibarat emas murni, tidak bercampur perak berapa persen pun. Pekerjaan yang bersih terhadap sesuatu, bernama ikhlas.

Misalannya seorang yang berkerja kerana mengharapkan puji majikan, maka ikhlas amalnya kepada majikannya atau dia bekerja pagi sampai ke petang kerana semata-mata memikirkan upah, maka keikhlasannya kepada perutnya. Pekerjaannya itu baik tetapi belum tentu baik jika dasarnya tidak subur.

Dasarnya itu akan baik dari zat sampai ke sifatnya jika didasarkan kepada lillah hi ta’ala iaitu ikhlas kerana Allah. Oleh sebab itu, perkataan ikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata. Sesuai lidah dan hati, itulah ikhlas! lain di mulut lain di hati, bukanlah ikhlas tetapi culas.

“Jangan terpedaya oleh seorang ahli pidato, lantaran pidatonya
Sebelum kelihatan bukti pada perbuatannya
Kerana perkataan itu sumbernya ialah hati
Lidah hanya dijadikan sebagai tanda dari hati”.


Thursday, 26 March 2015

Color Block, Transformasi Fesyen Masa Kini

     
    Shawl Rafhanah by Madeenda

    FESYEN warna kontra atau color block menyinari dunia fesyen. Bermula tahun 2014 merupakan gabungan warna terang pada penampilan dan aksesori seperti warna merah jambu dan kuning, hijau dan merah, biru dan oren serta pelbagai lagi gabungan berbeza.

    Biarpun sebelum ini fesyen warna kontra dilihat sebagai suatu yang pelik, kini tidak lagi kerana bukan sahaja menjadi kegilaan selebriti, malahan menjadi ikutan kerana pemilihan warna secara sesuka hati ini tidak memerlukan kita mengeluarkan belanja yang besar.

    Pada masa kini, ramai wanita yang semakin berani mengenakan fesyen dengan warna kontra tanpa mempedulikan lagi pandangan ortodoks mengenai perbezaan warna dalam berfesyen.

    Malah, warna-warna terang bermotifkan luar daripada kebiasaan ini sememangnya menangkap pandangan dan memberikan aura berganda yang memberikan gambaran bahawa si tukang gaya seorang yang bijak, sofistikated, berani dan pandai memancing tumpuan umum.

    Seperti mana corak dan rekaan pakaian, warna juga mengalami perubahan dan transformasi dari semasa ke semasa, sesuai dengan kematangan dan kemajuan pemikiran masyarakat masa kini. Yang sebenarnya mudah untuk menggayakan pakaian yang mempunyai warna kontra asalkan anda tahu teknik padanan rona yang sesuai.

    Aksesori yang digunakan juga boleh menimbulkan impak blocking atau kontra. Ia tidak semestinya pada pakaian malah jam, tas tangan, rantai leher atau gelang juga boleh digayakan dengan warna kontra dengan rona pada pakaian asalkan tidak terlihat padat dan berserabut.

    Jangan takut untuk melakukan percubaan kombinasi warna kerana dengan cara yang betul, ia mampu menghasilkan kelainan pada penampilan dan personaliti diri.

    Bagaimana menjadi penggaya color block yang menarik dan menawan? Ikuti beberapa tips dan perkongsian WOW dalam isu kali ini dan dapatkan juga pandangan umum mengenai fesyen color block masa kini.

    MEMILIH WARNA PAKAIAN

    1.  Kita boleh gayakan sesuatu pakaian tidak melebihi dari 3 warna. Untuk kelihatan lebih menarik dan ceria, gabungkan warna semula jadi seperti putih, coklat krim, kelabu mahupun hitam bersama warna-warna ceria seperti hijau pucuk pisang, biru muda, oren, kuning, jingga, peach, merah jambu mahupun merah. Gabungan ini mampu membuatkan anda nampak lebih ceria & muda.

    Namun yang demikian, jika anda tidak yakin bermain dengan warna, gayakan sahaja 1 warna seterusnya pakai aksesori seperti rantai, gelang mahupun tudung yang lebih menyerlah & warna-warna ceria.

    Contoh penggayaan yang sesuai: baju warna biru, seluar/skirt warna merah & tudung warna kuning atau gabungkan warna tudung merah & biru.

    2.  Jika anda ingin memakai baju bercorak bunga, abstrak dan sebagainya, padankan seluar/skirt corak kosong (plain) warna senada dengan baju. Perlu diingati, jangan sesekali memakai baju corak bunga, seluar & tudung juga bercorak. Apabila semua yang dipakai bercorak, ia hanya akan nampak berserabut. Ini harus di jauhi.
    Contoh penggayaan yang sesuai: baju corak bunga, seluar/skirt dan tudung corak kosong (plain) senada.

    3.  Anda juga boleh menggayakan corak kosong untuk baju, corak garisan lurus untuk seluar dan corak bunga untuk tudung.

    4.  Sebelum memilih warna pakaian, anda kena tahu bentuk tubuh badan terlebih dahulu. Tip berikut memandu anda memilih pakaian mengikut tubuh & warna kulit.


    MEMILIH WARNA PAKAIAN IKUT BENTUK BADAN

     

    1. Badan gempal dan tinggi

    Individu seperti ini sesuai menggayakan baju warna gelap seperti hitam, coklat gelap, biru gelap, hijau gelap kerana warna-warna ini mampu membuatkan anda kelihatan langsing.

    Serlahkan juga penampilan dengan corak bunga-bunga kecil. Untuk kelihatan ceria harus bijak bermain dengan warna. Awas, elakkan memakai pakaian warna terlalu terang dan corak bunga besar kerana ia akan menampakkan kegempalan anda.


    2. Badan kurus dan rendah

    Serlahkan penampilan anda dengan menggayakan warna baju yang lebih cerah dan corak bunga sedikit besar. Corak garis menegak sesuai dipakai supaya anda nampak lebih tinggi. Lengkapkan penampilan dengan memakai kasut tinggi wedges, ia mampu membantu menambahkan ketinggian dan pastinya anda akan kelihatan lebih elegan dan trendy!


    3. Badan kurus dan tinggi


    Anda sesuai memakai warna cerah seperti merah jambu, merah, kuning, oren, hijau, biru muda dan coklat serta boleh juga menggayakan corak melintang dan bunga baju yang besar supaya mengurangkan anda dilihat terlalu kurus. Corak melintang dan besar mampu memberi gambaran anda lebih berisi.

    Wednesday, 25 March 2015

    Bersederhana Itu Lebih Baik

    “Wow mewahnya kereta tu..Mesti mahal kan? ”
    “Besarnya rumah tu…Mesti banyak nak bayar kan?”
    “Canggihnya handphone kau…mesti harga beribu kan?”
    “Kau nak pergi makan di restoran mahal tu ke?”
    “Baju kau ni susah nak dapat..kau beli kat mana?”

    Itulah antara beberapa dialog yang sering kita dengar atau ucap jika kita mengagumi sesuatu harta benda yang kelihatan mewah dan dinilai dengan harga yang sangat mahal serta hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja. Hari ini, manusia tidak pernah puas dengan kehidupan materialnya, sehingga siang malam hidupnya semata-mata untuk dikagumi oleh masyarakat sekeliling. Tidak salah berumah besar ibarat mahligai, tidak salah berkereta mewah, tidak salah berfesyen yang mahal, tetapi apakah berbaloi nanti saat di”audit” oleh Allah SWT kelak di akhirat sana?
    Diri ini juga tidak sempurna, sentiasa memperbaiki diri sendiri dalam setiap perkara. Apa yang ditakut adalah sifat riyak dan membazir yang lahir dari penyakit wahan. Apakah itu penyakit wahan?


    Penyakit Wahan
    Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?”
    Rasulullah S.A.W menjawab, “CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT MATI”.
    Memang umat benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. Keadaan umat Islam menggambarkan kebenaran sabdaan Rasulullah s.a.w. Baik di kalangan pemimpin mahupun golongan bawahan, di kalangan muda mahupun tua, di kalangan miskin mahupun kaya.
    Penyakit al-wahan ini disebabkan telah rasa cinta kepada harta benda, pangkat, kuasa dan nama. Sifat materialistik telah tertanam dalam jiwa seseorang sehinggalah masyarakat pada hari ini menjadi tamak dan tidak berperikemanusiaan sehingga sanggup berbunuh-bunuhan. Nauzubillah, moga-moga kita di akhir zaman ini terhindar dari penyakit wahan ini.

    Membazir Amalan Syaitan
    Bagaimana mengukur sifat membazir? Bagi saya pembaziran terjadi apabila sesuatu pembelian yang tidak dapat digunakan dalam jangka masa panjang dan tidak berbaloi jika dibandingkan nilai dan penggunaannya. Contohnya, baju kurung yang dibeli dengan harga RM300 sepasang untuk hari raya lama kelamaan susut nilainya, walhal kita boleh membeli baju raya dengan harga RM50-RM100 kerana tujuan utama kita adalah untuk keselesaan dan menutup aurat. Tidakkah itu membazir?
    Pembaziran boleh berlaku dalam tiga keadaan, pembaziran harta, pembaziran tenaga dan pembaziran masa. Janganlah mengamalkan sifat membazir kerana sifat ini merupakan amalan syaitan.
    Firman Allah SWT maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya”.
    Jika kita mengamalkan hidup bersederhana, kelak kita akan menghindari sifat membazir. Umar bin Al-Khattab suatu hari berkunjung ke rumah anaknya: Abdullah. Tiba-tiba beliau melihat sepotong daging. Umar bertanya: “Mengapa ada daging di sini?” Abdullah menjawab: “Aku sedang teringin memakan daging, jadi aku membelinya.” Umar berkata: “Apakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang,setiap kali ia menginginkan sesuatu ia lalu memakannya.”

    Ucapan Sayidina Umar ini patut menjadi pegangan kita. Setiap kali berada di pusat membeli belah, sering-seringlah bertanya kepada diri sendiri, “Apakah saya benar-benar memerlukan barang ini?” Tepuklah dada tanyalah iman.

    Bersedekah
    Bersedekah merupakan salah satu cara untuk kita mengelakkan pembaziran dan juga cara untuk kita mensyukuri nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Pakaian lama, lebihan makanan, barang peribadi yang terlalu banyak dan duit bolehlah kita sedekahkan kepada golongan yang memerlukan. Bersedekah juga ada berkatnya, dan memang betul sedekah boleh menambah rezeki kita.

    “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)
    Bersedekahlah mengikut kemampuan, memberilah secara ikhlas dan tidak mengharapkan balasan. Apabila seseorang itu bersedekah, jiwa akan menjadi tenang dan secara tidak langsung timbul rasa syukur dalam hati dan seseorang itu akan menjalani hidup secara bersederhana. Tidak salah jika kita menetapkan sedekah secara bulanan supaya lama-kelamaan sedekah itu sudah menjadi amalan kebiasaan kita.

    Sifat Qanaah Sifat Terpuji
    Secara literal, Qanaah boleh kita ambil sebagai sifat puas hati atau redha dengan segala nikmat kurniaan Allah. Saya memberikan tafsiran yang mudah iaitu qanaah maksudnya merasa cukup dengan apa kita ada. Cukuplah rumah yang didiami memberikan perlindungan, keselesaan dan ketenangan, bukan merasa mewah apabila berada di dalamnya. Cukuplah kereta yang dimiliki boleh bergerak untuk menuju ke destinasi, bukanlah untuk menimbulkan sifat dengki, cukuplah berpakaian untuk menutup aurat dan selesa bukannya untuk menarik perhatian. Cukuplah dengan harta yang kita ada boleh digunakan untuk berjuang di jalan Islam, bukannya untuk menunjukkan kemegahan.
    Tidak salah untuk menambah harta dan rezeki, untuk hidup lebih selesa. Tetapi ingatlah akan penyakit wahan, janganlah membazir, banyakkanlah bersedekah dan amalkan sifat qanaah. Kelak harta yang banyak akan digunakan dengan cara yang betul dan diredhai oleh Allah.

    “Dan orang yang apabila membelanjakan, mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) bakhil, melainkan di tengah-tengah antara yang demikian” (Surah al-Furqan 25 :67)
    Justeru, amalkanlah hidup sederhana bukan kedekut. Hidup secara bersederhana tidak menahan kita agar tidak berbelanja sama sekali. Definisi yang paling tepat untuk kesederhanaan adalah berbelanja mengikut keperluan,bukan keinginan dan nafsu semata-mata. Saya menulis untuk memberi peringatan kepada diri sendiri, untuk disampaikan kepada generasi seterusnya, bukan untuk membenci dan dibenci.

    Monday, 23 March 2015

    KEHIDUPAN

    Kehidupan merupakan anugerah Tuhan Yang Maha Esa,iaitu ALLAH S.W.T. yang tidak ternilai harganya. Tetapi kebanyakan manusia tidak menggunakan masa hidupnya dengan sebaik mungkin.Sebagai contoh, kita lalai dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH, terlalu cintakan dunia, tidak mahu mati kerana terlalu sedih untuk meninggalkan dunia yang fana ini.
    Selalu kita dengar kata-kata seorang pujangga iaitu :
    “Kumpulkan kekayaan seolah-olah kita hidup di dunia ini selama-lamanya dan beramallah seolah-olah kita akan mati pada hari esok”.
    Kata-kata ini mempunyai maksud yang tersirat disebaliknya. Cuba kita fikirkan kenapa pujangga tersebut mengatakan kita perlu kumpulkan harta kekayaan seolah-olah kita hidup selama-lamanya? Sebabnya ialah ianya merupakan perkara yang penting bagi seseorang manusia.
    Tetapi kita kena ingat,janganlah kita menjadi seorang yang bongkak dan takbur kepada ALLAH dan sekalian makhluknya apabila kita mempunyai kekayaan kerana kekayaan tersebut merupakan pemberian ALLAH kepada kita.Seboleh- bolehnya kita menggunakan harta kekayaan kita untuk membantu golongan miskin.

    Maksud beramal seolah-olah kita akan mati pada hari esok ialah mengumpulkan bekalan untuk dibawa ke alam kubur yakni alam barzakh.Kita lihat gelagat manusia di sekeliling kita adakah mereke sentiasa gembira atau sedih sepanjang kehidupan mereke? Kadangkala kita memikirkan alangkah indahnya kalau Allah memberikan kita harta kekayaan yang melimpah ruah tanpa berusaha.
    Itulah pemikiran manusia yang malas berusaha.Allah Taala telah berfirman dalam al-Quran,Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kalau mereka tidak berusaha untuk mengubahnya.Jelas dalam ayat al-Quran bahawa Allah tidak akan menolong orang yang tidak berusaha untuk mengubah dirinya.

    Justeru itu,segala-galanya terserah pada diri kita sama ada mahu mengubah nasib kita atau tidak.Fikirlah tentang diri anda.Usahalah untuk mengubah hidup anda.


    p/s: Sudi-sudi la uolss singgah kedai online kami  http://www.madeenda.com/  :)

    sumber : http://www.iluvislam.com/inspirasi/10245-kehidupan.html

    Friday, 20 March 2015

    7 Kelebihan zikir bantu teguhkan iman

        
     
    Berzikir ialah satu amalan yang disyariatkan dan sangat dituntut dalam Islam. Ia boleh dilakukan dengan hati atau lidah atau yang sebaik-baiknya adalah dengan kedua-duanya. Zikir merupakan tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan jiwa.

    Sebagaimana yang disebut di dalam surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud,

    Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk , dan ketika kamu berbaring.”

    Zikir juga merupakan bukti keterikatan seorang hamba kepada Penciptanya. Seorang muslim perlu sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikir-zikir yang ma’tsur (diambil daripada Al-Quran dan sunnah) seperti zikir selepas solat, zikir pada waktu pagi dan petang serta zikir-zikir yang dibaca berkaitan dengan peristiwa atau sebab yang tertentu.

    Allah SWT sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikir-zikir memuji Allah. Ganjaran pahala juga telah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang berzikir. Hal tersebut dijelaskan dengan turunnya surah Al-Ahzab ayat 35, maksudnya:

     “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.

    Menurut Imam al-Nawawi, “Ketahuilah bahawa sesungguhnya zikir tidak hanya tasbih, tahlil, tahmid dan takbir, bahkan zikir ialah setiap amalan ketaatan yang dilakukan kerana Allah SWT”.

    Dari Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang mengucapkan 'Subahanallah hil'azimi Wabihamdih' maka akan ditanamkan untuknya sepohon pokok tamar di dalam syurga." ( H.R Muslim)

    Kelebihan Berzikir

    Antara kelebihan berzikir yang dinyatakan di dalam hadis-hadis yang sahih adalah:

    Pertama:
    majlis zikir merupakan taman syurga di dunia. Daripada Anas bin Malik r.a, beliau meriwayatkan: “ Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Jika kamu melalui taman-taman syurga, maka singgahlah dengan senang. Para sahabat bertanya: Apakah taman-taman syurga itu? Baginda menjawab: halaah-halaqah (kelompok) zikir.” – Hadis hasan riwayat al-Tirmizi.

    Kedua:
    Zikir merupakan benteng daripada gangguan syaitan.

    Ketiga:
    Zikir penghapus dosa dan menyelamatkan daripada azab Allah.

    Keempat:
    Zikir diumpamakan sebagai orang yang hidup.

    Kelima:
    Zikir beroleh pahala.

    Keenam:
    Zikir adalah tanaman syurga.

    Ketujuh:
    Zikir adalah amalan yang paling baik dan paling tinggi darjatnya.