Showing posts with label kelebihan. Show all posts
Showing posts with label kelebihan. Show all posts

Tuesday, 11 November 2014

Kelebihan Bekerja Keras

 Assalamualaikum...

Banyak manfaat yang dapat kita perolehi dengan bekerja yang ikhlas. Selain mendapat gaji dan meningkatkan produktiviti kerja, Kita juga akan disukai Allah, majikan dan teman sekerja.Tambahan, bekerja itu kan satu ibadah.Oleh itu bekerjalah kita dengan ikhlas.

KELEBIHAN BEKERJA DENGAN IKHLAS:-

1.Mendapat Kekuatan, Kebijaksanaan dan Kesabaran
Orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Apabila seorang hamba ikhlas, “talian hayatnya” bersambung dengan Allah. Allah tidak akan mengecewakan hambaNya yang ikhlas. Dia sentiasa memberi bantuan apabila hambaNya memohon pertolongan.

2.Hasil Kerja Berkualiti dan Produktif
Jika seseorang bekerja kerana gaji, maka dia tidak akan bekerja melebihi kadar gaji yang diterimanya. Tetapi jika seseorang bekerja ikhlas kerana Allah, dia akan melipat gandakan kerjanya di tahap terbaik kerana yakin pembalasan daripada Allah jauh lebih banyak, baik dan kekal. Dia juga menjadi pekerja yang produktif, tanpa memilih hanya kerja yang ada nilai “self promotion” (ganjaran pangkat dan gaji) malah dia juga giat dalam kerja-kerja yang memberi nilai “self improvement” (peningkatan nilai murni dalam diri). Tegasnya dia tidak terlalu berkira dengan tenaga, masa, dan sentiasa bersedia untuk melakukan kerja-kerja sukarela dan khidmat masyarakat.



3.Terhalang daripada Melakukan Penyelewengan
Pekerja yang ikhlas tidak perlu dipantau oleh “punch card”, CCTV, dan peraturan-peraturan yang ketat untuk menghalangnya daripada rasuah, ponteng, curi tulang, dan lain-lain perbuatan negative kerana dia merasakan dirinya diawasi oleh Allah. Walaupun begitu, tidak salah menggunakan sistem pemantau luaran kerana sifat ikhlas sedang dalam pembinaan. Itu juga membantu proses mujahadah untuk mendapat keikhlasan.

4.Hubungan Harmoni Sesama Rakan Sekerja
Orang yang ikhlas tidak akan mengampu, mengadu domba, sabotaj, mengumpat, apalagi memfitnah rakan sekerja. Cinta dunia adalah “kepala” kejahatan. Orang yang ikhlas hanya mengharapkan keredhaan Allah dan tidak ada sebab untuk mereka menzalimi orang lain demi mendapat pujian, pangkat dan ganjaran material. Tempat di sisi Allah sentiasa luas dan tidak perlu berebut-rebut berbanding tempat di dunia yang sempit lagi terhad.

5.Taat Orang Atasan dan Hormat Orang Bawahan
Orang yang ikhlas akan mentaati perintah, teguran dan keputusan atasannya selagi tidak bercanggah dengan syariat. Ketaatan itu bukan mengampu sebaliknya dilakukan atas dasar taat kepada Allah. Begitu juga, mereka akan menghormati orang bawahannya, mengasihi dan tidak menzaliminya. Mereka faham bahawa pemimpin merupakan “khadam ummah” bukan memperalatkan orang bawahan untuk kepentingan peribadi.

6.Yakin dan Berani Menyatakan Pandanga dan pendirian.
Ketaatan dalam Islam tidak menutup pintu perbincangan atau mesyuarat untuk menyatakan pandangan dan pendirian. Justeru, orang yang ikhlas tidak teragak-agak untuk menyatakan pendiriannya apabila kena pada tempat, masa dan suasananya. Apa yang dirasakan benar, dinyatakannya dengan jelas dan beradab sekalipun pahit. Dia tidak akan bermuka-muka. Kata-katanya adalah dari hati bukan “ambil hati”. Dan dia bertanggungjawab atas pendirinyannya bukan bersifat “lempar batu, sembunyi tangan”.





- Artikel iluvislam.com

Monday, 10 November 2014

Bersyukur Dengan Kekurangan


“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, 
dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” 
(Surah Ibrahim, 7)



Kebiasaannya, bila kita dikurniakan nikmat, rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan; apa yang kita akan lakukan?

BERSYUKUR!

Ya, itulah yang seharusnya.
Tapi… bagaimana pula kalau kita di berikan kekurangan, kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. Berapa ramai yang bersyukur?
Saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur bila ditimpan ujian. Mungkin dalam 100% hanya  5% yang bersyukur dan berlapang dada bila ditimpa ujian.

Sedarkah kita…
beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan.
Fiman Allah SWT:

“Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa – memelihara dirinya dari kejahatan.” (Surah Al-Baqarah, 177)

Saya pasti kalian mesti pernah dengar kata-kata ini:

“After every storm there is a rainbow.”

Selepas setiap guruh, adanya pelangi.
Walau apa juga ujian yang diturunkan, kuatkan semangat dan azamkan tekad.
Yakinlah dengan janji Allah...
Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat, asalkan hidup mendapat berkat.
Fikirkan setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. Begitu juga sebaliknya.

Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan lemah dan tidak sempurna.
Ingat bahawa kekurangan itu hebat. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan keberkatan tertentu.

Ingatlah,
Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri (saling lengkap melengkapi). Mereka yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan lain-lain.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. Janganlah kita hina kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu.

Kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
Dan ingatlah, setiap kekurangan yang kita miliki merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujiaan itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?

Renung-renungkan.

Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaan-Nya; kebaikan mahupun keburukan.

sumber:http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/5838-bersyukur-dengan-kekurangan.html