Tuesday, 21 October 2014

Tips Motivasi Diri


Assalamualaikum...

Untuk berjaya dalam hidup, motivasi diri boleh dikatakan suatu keperluan. Kita mesti tahu bagaimana untuk memotivasikan diri kita. Kita juga perlu mempunyai semangat yang tinggi walau dalam keadaan seteruk mana pun. Sesiapa yang kehilangan semangat ketika melalui situasi yang sukar akan berdepan dengan kekalahan walaupun perjalanannya belum pun berakhir.
Persoalannya disini, bagaimana cara untuk mendapatkan motivasi diri. Disini ada diberikan sedikit tips motivasi diri yang sedikit sebanyak diharap boleh membantu anda dalam mengharungi kesulitan mahupun kesukaran dalam perjalanan kehidupan. Artikel motivasi ini membincangkan tentang apa yang perlu ada dalam diri untuk sentiasa bersemangat dalam mengejar cita-cita.

Tahu Tujuan

Tiada sumber motivasi yang lebih kuat untuk anda berjaya dari tujuan anda melakukannya. Tujuan anda adalah inspirasi terbaik untuk memberi perangsang dalam menghadapi kesulitan di kemudian hari. Ia akan dapat membantu anda melakukan perkara-perkara yang dilihat mustahil  pada pandangan manusia normal. Bila anda fikir anda sudah tiada semangat untuk meneruskan perjalanan, ingat balik tujuan anda melakukannya dan motivasi itu akan kembali kepada anda serta merta.

Tetapkan Impian atau Matlamat.

Tujuan anda untuk berjaya merupakan sumber motivasi yang kuat tapi masih belum cukup untuk merealisasikan apa yang anda mahukan. Anda perlu ada impian atau matlamat. Anda perlu bayangkan apa yang akan berlaku pada anda apabila anda berjaya mencapai tujuan anda. Memiliki impian sangat penting sebab sangat susah untuk bermotivasi jika anda tiada matlamat yang khusus.  Bayangkan pemain bola sepak. Adakah mereka akan bermotivasi jika tiada pintu gol untuk dijaringkan? Mereka memerlukan matlamat. Begitu juga anda. Matlamat atau impian yang ditetapkan mestilah cukup besar untuk menginspirasikan anda. Ia harus realistik dan mencabar untuk mengeluarkan anda dari zon selesa yang anda duduki sekarang ini.

Mempunyai Keinginan Yang Kuat

Untuk benar-benar mendapat motivasi diri yang jitu, anda mesti mempunyai keinginan yang kuat. Ini akan membantu anda ketika melalui situasi-situasi yang sulit dan memastikan anda berusaha untuk melakukan prestasi yang terbaik walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Jika anda berasa seperti keinginan anda semakin pudar, apa yang perlu anda lakukan ialah untuk  melihat kembali kepada impian dan matlamat anda. Ini akan memberikan motivasi kepada diri anda dan meningkatkan lagi rasa keinginan anda.

Tetapkan Haluan Sendiri

Membandingkan diri anda dengan orang lain biasanya akan mengurangkan keyakinan anda. Walaupun anda pada mulanya bersemangat, lama-kelamaan anda mula terasa kekurangan diri jika dibandingkan dengan orang lain. Elakkan ini terjadi kepada anda. Anda mempunyai matlamat sendiri dan apa yang orang lain kecapi tidak perlu dibandingkan dengan diri anda. Setiap orang mempunyai perjalanan hidup dan keadaan yang berbeza.  Membandingkan diri anda dengan orang lain adalah seperti membandingkan prestasi seorang perenang dengan seorang pelari menggunakan standard masa yang sama. Mereka berdua dalam situasi yang berbeza jadi ianya adalah tidak relevan untuk membandingkan kedua-dua orang ini.

Berani Meneruskan Perjalanan

Apabila anda bertemu dengan cabaran dalam perjalanan anda untuk berjaya, anda mungkin cenderung untuk menghentikan perjalanan itu. Anda mungkin berfikiri bahawa ia terlalu sukar untuk diteruskan. Tetapi, ini sebenarnya adalah saat dimana anda boleh melihat perbezaan antara seorang yang menang ataupun seorang yang kalah. Meskipun kedua-duanya menghadapi kesulitan yang sama, tetapi satu perkara yang membezakan adalah keberanian untuk meneruskan perjalanan itu. Jika berhadapan dalam situasi yang sukar, fokuskan pemikiran anda untuk meneruskan langkah kehadapan. Jangan berfikir bagaimana untuk menyelesaikan perlumbaan atau berapa banyak lagi cabaran yang akan ditempuhi. Tetapi, hanya fokus untuk mengambil langkah yang seterusnya.

Lupakan Masa Silam

Percaya atau tidak, salah satu pemusnah motivasi diri anda adalah masa silam anda sendiri. Ia boleh memberi beban yang berat diatas bahu yang perlu anda pikul. Walaupun begitu, ia adalah sesuatu yang boleh anda tinggalkan. Anda mungkin membuat kesalahan pada masa lalu. Anda mungkin telah mengecewakan orang lain dengan apa yang anda lakukan. Tapi itu semua sudah berlalu. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat anda ubah lagi hakikatnya. Hari ini adalah hari yang baru dan anda sentiasa mempunyai peluang untuk memulakan semula hari anda. Tidak kira seteruk mana masa silam anda, masih ada masa depan yang cerah menanti jika anda berani meneruskan perjalanan.

Sekian, semoga tips motivasi diri yang diberikan diatas boleh membantu anda untuk mengecapi kejayaan dalam hidup. Tidak kira sesusah mana pun cabaran yang dihadapi, teruskan usaha anda, berdoalah untuk mendapat yang terbaik, dan bertawakal kepada Allah.



Featured here: #juitabymadeenda in dark red

SHOP here



No comments:

Post a Comment