Assalamualaikum...
Nikmat rezeki yang kita miliki dalam hidup ini telah tetapkan oleh Allah dan ia adalah hakNya untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan. Jangan di kejar gunung, kerana gunung tidak akan bergerak. Begitu juga dengan rezeki, kalau itu memang hak kita, ia tidak akan lari jauh dari kita. Kita perlu bersabar sebelum dapat menikmati kekayaan dan kemewahan dari rezeki yang telah ditentukan untuk kita.
Kita tidak boleh terlalu gopoh untuk mengejar kekayaan dan kemewahan
di dunia ini. Kita sendiri pasti tidak suka jika kita terlalu didesak
oleh orang lain untuk mendapatkan sesuatu dari kita. Begitu juga dengan
rezeki kita, jika kita terlalu mendesak ianya akan menjadi sukar untuk
diperolehi. Hanya Allah sahaja yang mengetahui sama ada sesuatu itu hak
kita atau tidak. Kita cuma boleh berdoa dan meminta petunjuk dariNya.
Memang tidak dinafikan, perjalanan menuju ke arah kekayaan yang kita
inginkan tidak semudah yang disangka. Kita perlu berperang dan bersaing
dengan manusia lain. Kita perlu pilih sama ada kita mahu gunakan senjata
yang baik ataupun buruk untuk bersaing dengan orang lain. Jika
dilakukan dengan cara yang baik kita sendiri yang akan mendapat
manfaatnya. Begitulah juga sebaliknya.
Berusahalah dengan sedaya upaya dan penuh yakin bahawa Allah akan
sentiasa membantu kita. Jangan pernah merasa cepat berputus asa. Orang
yang cepat berputus asa adalah orang yang sangat rugi. Jika kita melihat
ramai orang yang telah berjaya, kita juga pasti boleh berjaya seperti
mereka juga. Setelah gigih berusaha, iringi usaha kita itu dengan berdoa
dan bertawakal kepada Allah kerana Dialah yang maha berkuasa untuk
menentukan segalanya.
Kejayaan dan kemewahan pasti akan datang kepada manusia yang yakin
dan sentiasa mahu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik. Setiap
hari lakukan perancangan dan mula untuk mengubah kehidupan kita ke arah
lebih baik. Ucapkan selamat tinggal kepada kegagalan, selamat datang
kejayaan. Berusahalah untuk menjadi orang yang berjaya di dunia dan juga
akhirat. InsyaAllah kejayaan sebenarnya pasti akan menjadi milik kita.
sumber:http://www.klinikmotivasi.com/blog/rezeki-yang-telah-ditetapkan/
No comments:
Post a Comment