Beriadah sememangnya aktiviti sihat yang disarankan dalam
Islam. Malah, dari segi sains sendiri membuktikan senaman seminggu tiga
kali dan 30 minit setiap sesi merupakan langkah terbaik untuk kekalkan
kesihatan tubuh badan. Amalan ini memang perlu diterapkan dalam
kehidupan seharian kita tetapi jangan disalahgunakan pula.
Caranya perlu bertepatan dengan syariat Islam. Dalam sebuah hadis
riwayat Bukhari dan Muslim, Aisyah RA berkata yang bermaksud,
"Sesungguhnya aku telah melihat Nabi SAW menutupku dengan kain
selendangnya dan (ketika itu) aku sedang melihat orang Habsyah bermain
di masjid sehingga aku membuatnya jemu." Untuk itu, bersenam dan
bersukan juga ada adab-adabnya agar tidak menyalahi peraturan yang telah
ditetapkan oleh agama kita.
1- Niat yang betul – Segala perkara yang kita lakukan perlu
dimulakan dengan niat dalam hati. Jika betul niat anda, maka anda
sendiri akan mendapat manfaatnya dari Allah SWT tetapi jika sebaliknya,
anda sendiri tahu apakah keburukannya. Tentukan niat beriadah untuk
menjamin kesihatan dalaman dan fizikal diri.
2- Menepati syarak – Biarlah sukan yang anda lakukan itu
bersesuaian dengan jantina. Seelok-eloknya, kaum hawa melakukan aktiviti
sukan di kawasan yang tertutup tanpa dilihat oleh lelaki yang bukan
mahram. Selain itu, anda juga akan rasa lebih selesa apabila segala
pergerakan tiada batasan kerana dikelilingi oleh gadis-gadis lain.
3- Menutup aurat – Ini adalah perkara wajib yang perlu diambil
berat bukan sahaja ketika bersukan malah untuk perkara lain juga.
Contohnya, ketika bermain bola jaring. Jangan pula anda hanya mengenakan
seluar pendek dan tidak bertudung semata-mata kerana rimas apabila
berpeluh. Biar panas di dunia daripada panas di akhirat yang kita
sendiri tidak akan tertanggung azabnya.
4- Tiada pertaruhan – Setiap aktiviti sukan yang anda sertai
perlulah bebas daripada unsur perjudian dan pertaruhan. Itu semua haram
di sisi Islam. Kemenangan dan kekalahan merupakan hasil titik peluh dan
usaha anda sendiri serta ketentuan dari Ilahi. Jangan hanya kerana wang
yang ditabur, anda sudah lupa diri.
5- Tidak lalai – Acap kali kita melihat di kaca televisyen,
permainan berlaku ketika waktu solat terutama waktu maghrib yang sungguh
pendek saatnya. Anda mempunyai hak untuk memilih waktu yang sesuai
kerana itu sudah menjadi tanggungjawab wajib antara anda dan Yang Maha
Pencipta. Solat diutamakan, pasti Dia akan membantu anda ketika sesi
permainan nanti.
6- Tiada percampuran - Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan
perlu dielakkan supaya tidak timbul syak wasangka yang negatif. Lebih
elok, aktiviti sukan tersebut dilakukan bersama mereka yang sama jantina
dengan anda. Bukan sahaja lebih selesa, malah anda sendiri tidak berasa
janggal untuk beraksi di gelanggang dan berusaha meraih kemenangan.
sumber: DARA
*
*
*
*
*
*
*
*
*
>>~ www.madeenda.com
No comments:
Post a Comment