Ramai yang masih keliru dalam memilih jenis kain selendang yang sesuai untuk dipakai. Ada yang memilih atas dasar kualiti dan ada juga kerana harganya. Kebanyakan selendang mempunyai kualiti yang berbeza mengikut harga dan itu yang mempengaruhi seseorang untuk membeli, walaupun pada asalnya tidak mengetahui bagaimana cara memakainya.

 

Jadi, perlu diingat, memilih selendang atau tudung perlu dilihat pada keselesaan kita untuk memakainya, bukan hanya pada material ataupun harga. Ayuh kita ikuti tip ini untuk anda lebih memahami kelebihan jenis selendang yang anda ingin beli.

 

1. Kapas (Bawal)

Apabila melihat selendang jenis ini kembali berada di pasaran, teringat pula zaman persekolahan. Selendang jenis ini mudah digayakan kerana daripada jenis kain kapas dan punyai gred. Ia mudah dibentuk pada wajah dan bersifat sejuk dan terletak kemas saat digayakan. Biasanya ia berbentuk empat segi sama dan boleh digayakan dengan pelbagai gaya.

 

2. Sifon

Wah, anda dikatakan seorang yang berani jika memilih untuk memakai selendang daripada jenis kain ini. Ia bersifat licin dan terlalu sensitif. Perlu dijaga rapi. Tetapi untuk memakainya, ada caranya. Pastikan anda gandingkan dengan anak tudung jenis kapas pada bahagian dalam agar selendang ini tidak mudah lucut daripada kepala. Jika rajin, gunakan pin yang lebih untuk kemasan. Selendang jenis ini sangat sesuai untuk majlis-majlis rasmi.

 

3. Denim

Kain yang menjadi kegilaan sesetengah pemakai hijab. Ia kelihatan agak ranggi, namun masih sopan. Bersifat sejuk dan mudah digayakan.

 

4. Lycra

Ada satu ketika, kain selendang jenis ini menjadi rebutan ramai. Ia mudah dijaga dan tidak perlu digosok. Penggayaannya pun lebih mudah dan kerana kain selendang jenis inilah terciptanya ikatan tudung tanpa pin ataupun peniti.

 

5. Satin

Selendang jenis ini juga agak sukar untuk digayakan. Tetapi kelihatan mewah dan feminin. Jika dililit di kepada, akan kelihatan kemas dan terletak. Jadi, jadikan selendang jenis ini salah satu koleksi anda.

 

6. Kait

Lebih mudah jika memilih untuk menggayakan tudung jenis kait kerana tidak memerlukan penjagaan rapi dan penggayaan lebih ringkas dan bebas. Cuma perlu disertakan dengan inner neck agar tidak menampakkan rambut ataupun tengkuk ketika memakainya.