Bukan mudah untuk menggalas tugas sebagai seorang ibu dan isteri,
apatah lagi jika anda merupakan wanita berkerjaya. Apabila anak-anak dan
rumah tangga tidak terurus, ramai yang menuding jari terhadap anda
dengan kata-kata, “wanita hari ini sudah tidak pandai buat kerja rumah
dan urus anak.”
Ada yang beranggapan dek kerana terlalu berpelajaran tinggi, kerja-kerja asas rumah tangga tak mampu dilaksanakan. Adakah perkara itu benar?
Ada yang beranggapan dek kerana terlalu berpelajaran tinggi, kerja-kerja asas rumah tangga tak mampu dilaksanakan. Adakah perkara itu benar?
Tuduhan sebegitu memang mudah dituturkan oleh orang yang tidak pernah berada di tempat anda. “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.” Dengan keletihan bekerja, tekanan dan pelbagai lagi, masakan seorang wanita itu boleh diletakkan harapan yang tinggi untuk menjalankan tugasan rumah tangga sesempurna yang mungkin. Namun, dengan tip yang diberikan ini, insya-Allah ia sedikit sebanyak membantu anda menjadi pengurus rumah tangga yang lebih baik.
1-RANCANG
Setiap pekerjaan perlu ada perancangan. Ia membuatkan tugasan-tugasan
yang ingin kita laksanakan menjadi lebih tersusun. Setiap awal pagi,
ambil sedikit masa untuk menulis To-Do-List pada sehelai kertas. Rangka waktu untuk menyelesaikan senarai-senarai tugasan tersebut dengan tenang.
2-JANGAN TANGGUH
Apabila sudah ada senarai To-Do-List, jangan cuba untuk
melangkau daripada melaksanakannya. Ikut waktu yang perlu dilaksanakan
dan lakukan dengan bersungguh serta bersemangat. Contohnya, pada pukul
7.00 hingga 7.30 pagi, anda perlu menyiapkan bahan-bahan masakan untuk
dimasak apabila pulang dari kerja.
3-CUBA MUDAHKAN KERJA
Sering kita terfikir tentang sesetengah wanita yang mampu menyiapkan
pelbagai tugasan rumah walaupun sibuk bekerja, malah, setiap hari mampu
memasak untuk keluarga. Jawapannya mudah! Fikirkan cara bagaimana untuk
memudahkan sesuatu tugasan atau menjadikan ia lebih pantas. Contohnya,
anda mungkin boleh memasak sambil membasuh pakaian dengan mesin basuh.
Satu masa dengan melakukan banyak tugasan.
4-KEUTAMAAN
Beri perhatian atau selesaikan tugasan yang penting dahulu. Contoh,
antara memasak dan lipat baju. Jika anda lipat baju dahulu, jam berapa
baru dapat siapkan makanan? Pastinya anda akan jadi kelam-kabut jika
anak-anak dan suami sudah menunggu di meja makan dengan perut yang
sedang berkeroncong. Maknanya, siapkan yang utama dahulu. Masak dahulu
kemudian barulah melipat pakaian.
5-KAWAL STRESS
Stres sudah pasti menghantui diri anda. Cara untuk mengawalnya ialah
jangan terus-terusan melayani tekanan tersebut. Cuba tenangkan diri dan
berfikir perkara-perkara yang positif. Contohnya, ketika anda sedang
keletihan selepas pulang daripada kerja, anda lihat rumah berselerak dan
kucar-kacir. Anda mula menjadi tertekan, melempar dan mengemas
barang-barang dengan bebelan dan perasaan marah. Usah begitu! Abaikan
dahulu pemandangan ‘serabut’ itu, bersihkan diri, duduk dengan tenang di
atas sofa sambil menikmati segelas jus dari peti sejuk. Katakan pada
diri, “Saya boleh lakukan!” Kemudian, bangunlah mengemas dengan tenang
dan sabar.
6-JAGA KESIHATAN
Sihat ialah perkara paling penting! Jika anda jatuh sakit atau keadaan
diri lemah, mana mungkin anda dapat menguruskan rumah tangga dan
anak-anak dengan baik. Justeru, pastikan anda mengamalkan diet pemakanan
yang seimbang dengan pengambilan suplemen tambahan yang dapat memberi
tenaga terhadap tubuh badan anda setiap hari.
7-BERKONGSI
Meluahkan ialah salah satu cara wanita melepaskan rasa tertekan. Ia
membuatkan anda rasa lebih lega dan tenang. Cubalah cari seseorang yang
dipercayai seperti ibu, ayah atau suami anda sendiri untuk meluahkan
stres yang sedang anda tanggung. Dapatkan juga kata-kata semangat dan
nasihat daripada mereka. Ia membantu anda untuk jadi lebih tenang dalam
menguruskan tugasan-tugasan seharian.
8-FIKIR POSITIF
Berfikir sesuatu perkara yang baik-baik mampu mengubah hari anda.
Percayalah! Jangan pernah beranggapan bahawa tugasan-tugasan yang anda
perlu lakukan adalah sebagai satu bebanan yang tidak sepatutnya
ditanggung. Namun, sentiasa berfikir positif. Contohnya, apabila sedang
mengemas rumah, fikirkan ganjaran pahala yang Allah akan berikan kepada
kamu kerana menjalankan kewajipan seorang isteri. Ketika menghadapi
kerenah anak yang meragam, fikirkan harta dunia akhirat yang kamu miliki
adalah amanah Allah sebagai penambah amal dan pahala.
9-BERDOA
Jangan pernah putus asa untuk mengadu, merintih dan berdoa kepada Allah
agar dipermudahkan segala urusan dan tanggungjawab yang anda sedang
galas. Yakin bahawa Allah mendengar doa anda dan Dia pasti memberi hati
anda sebuah ketenangan dan kekuatan untuk melalui semuanya.
10-BERZIKIR
Berzikirlah memuji Allah sepanjang masa. Anda akan lihat keajaibannya
terhadap kehidupan seharian anda. Amalkan zikir Fatimah, “Subhanallah,
Alhamdulillah, Allahuakbar”. Insya-Allah, anda akan rasa gembira dan
puas hati setiap kali menyelesaikan sesuatu tugasan, malah anda akan
rasa lebih bertenaga.
sumber:MAJALAH NUR
No comments:
Post a Comment