Sebagai seorang wanita bekerja, penampilan ke pejabat seringkali menjadi masalah buat kita. Jangan gusar kerana sempena tahun baru ini, kami sediakan tip untuk tampil cantik dan ideal ke ofis minggu ini.


sihatcantik

Isnin
Ceriakan hari anda dengan solekan yang ringkas. Aplikasikan sedikit garis mata dan maskara untuk mata yang segar. Gayakan tudung awning berbunga bersama baju kurung atau blaus polos. Pasti tiada lagi emosi Monday blues.

Selasa
Hari ini ada temu janji bersama pelanggan. Oleh itu, padankan selendang polos daripada fabrik satin bersama jubah berbunga atau bercorak supaya anda lebih sofistikated dan yakin di hadapan pelanggan. Untuk solekan pula oleskan sedikit pembayang mata dan gincu bibir berwarna merah jambu.

Rabu
Tidak salah sesekali menggayakan skirt ke pejabat. Pilihlah skirt yang polos berwarna hitam atau coklat untuk tampil ringkas. Kemeja labuh dan padanan tudung awning kosong menjadi pelengkap gaya. Oleskan bedak, pemerah pipi berwarna merah jambu lembut, dan sedikit garisan mata serta maskara.

Khamis
Hari ini anda mungkin sudah buntu dan bosan dengan pakaian yang anda. Lantaran itu, suai dan padankan baju yang sedia ada. Jika anda bijak memadankannya, sudah pasti penampilan berbeza daripada biasa. Solekan pula, gunakan warna coklat untuk pembayang mata.

Jumaat
Penghulu segala hari. Untuk menghormati hari yang penuh mulia ini, sarungkanlah baju kurung, jubah atau abaya. Busana seperti ini ideal digayakan ke pejabat berserta tudung awning polos yang bersesuaian.

sumber:MAJALAH NUR