“Wow mewahnya kereta tu..Mesti mahal kan? ”
“Besarnya rumah tu…Mesti banyak nak bayar kan?”
“Canggihnya handphone kau…mesti harga beribu kan?”
“Kau nak pergi makan di restoran mahal tu ke?”
“Besarnya rumah tu…Mesti banyak nak bayar kan?”
“Canggihnya handphone kau…mesti harga beribu kan?”
“Kau nak pergi makan di restoran mahal tu ke?”
“Baju kau ni susah nak dapat..kau beli kat mana?”
Itulah
antara beberapa dialog yang sering kita dengar atau ucap jika kita
mengagumi sesuatu harta benda yang kelihatan mewah dan dinilai dengan
harga yang sangat mahal serta hanya dimiliki oleh golongan tertentu
sahaja. Hari ini, manusia tidak pernah puas dengan kehidupan
materialnya, sehingga siang malam hidupnya semata-mata untuk dikagumi
oleh masyarakat sekeliling. Tidak salah berumah besar ibarat mahligai,
tidak salah berkereta mewah, tidak salah berfesyen yang mahal, tetapi
apakah berbaloi nanti saat di”audit” oleh Allah SWT kelak di akhirat
sana?
Diri ini juga tidak sempurna, sentiasa memperbaiki diri
sendiri dalam setiap perkara. Apa yang ditakut adalah sifat riyak dan
membazir yang lahir dari penyakit wahan. Apakah itu penyakit wahan?
Penyakit Wahan
Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?”
Rasulullah S.A.W menjawab, “CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT MATI”.
Memang
umat benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. Keadaan umat
Islam menggambarkan kebenaran sabdaan Rasulullah s.a.w. Baik di kalangan
pemimpin mahupun golongan bawahan, di kalangan muda mahupun tua, di
kalangan miskin mahupun kaya.
Penyakit al-wahan ini disebabkan
telah rasa cinta kepada harta benda, pangkat, kuasa dan nama. Sifat
materialistik telah tertanam dalam jiwa seseorang sehinggalah masyarakat
pada hari ini menjadi tamak dan tidak berperikemanusiaan sehingga
sanggup berbunuh-bunuhan. Nauzubillah, moga-moga kita di akhir zaman ini
terhindar dari penyakit wahan ini.
Membazir Amalan Syaitan
Bagaimana
mengukur sifat membazir? Bagi saya pembaziran terjadi apabila sesuatu
pembelian yang tidak dapat digunakan dalam jangka masa panjang dan tidak
berbaloi jika dibandingkan nilai dan penggunaannya. Contohnya, baju
kurung yang dibeli dengan harga RM300 sepasang untuk hari raya lama
kelamaan susut nilainya, walhal kita boleh membeli baju raya dengan
harga RM50-RM100 kerana tujuan utama kita adalah untuk keselesaan dan
menutup aurat. Tidakkah itu membazir?
Pembaziran boleh berlaku
dalam tiga keadaan, pembaziran harta, pembaziran tenaga dan pembaziran
masa. Janganlah mengamalkan sifat membazir kerana sifat ini merupakan
amalan syaitan.
Firman Allah SWT maksudnya: “Sesungguhnya
orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan
syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya”.
Jika
kita mengamalkan hidup bersederhana, kelak kita akan menghindari sifat
membazir. Umar bin Al-Khattab suatu hari berkunjung ke rumah anaknya:
Abdullah. Tiba-tiba beliau melihat sepotong daging. Umar bertanya:
“Mengapa ada daging di sini?” Abdullah menjawab: “Aku sedang teringin
memakan daging, jadi aku membelinya.” Umar berkata: “Apakah setiap kali
teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang
dilakukan seseorang,setiap kali ia menginginkan sesuatu ia lalu
memakannya.”
Ucapan Sayidina Umar ini patut menjadi pegangan kita.
Setiap kali berada di pusat membeli belah, sering-seringlah bertanya
kepada diri sendiri, “Apakah saya benar-benar memerlukan barang ini?”
Tepuklah dada tanyalah iman.
Bersedekah
Bersedekah
merupakan salah satu cara untuk kita mengelakkan pembaziran dan juga
cara untuk kita mensyukuri nikmat yang Allah telah berikan kepada kita.
Pakaian lama, lebihan makanan, barang peribadi yang terlalu banyak dan
duit bolehlah kita sedekahkan kepada golongan yang memerlukan.
Bersedekah juga ada berkatnya, dan memang betul sedekah boleh menambah
rezeki kita.
“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah
baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman
yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka;
dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)
Bersedekahlah
mengikut kemampuan, memberilah secara ikhlas dan tidak mengharapkan
balasan. Apabila seseorang itu bersedekah, jiwa akan menjadi tenang dan
secara tidak langsung timbul rasa syukur dalam hati dan seseorang itu
akan menjalani hidup secara bersederhana. Tidak salah jika kita
menetapkan sedekah secara bulanan supaya lama-kelamaan sedekah itu sudah
menjadi amalan kebiasaan kita.
Sifat Qanaah Sifat Terpuji
Secara
literal, Qanaah boleh kita ambil sebagai sifat puas hati atau redha
dengan segala nikmat kurniaan Allah. Saya memberikan tafsiran yang mudah
iaitu qanaah maksudnya merasa cukup dengan apa kita ada. Cukuplah rumah
yang didiami memberikan perlindungan, keselesaan dan ketenangan, bukan
merasa mewah apabila berada di dalamnya. Cukuplah kereta yang dimiliki
boleh bergerak untuk menuju ke destinasi, bukanlah untuk menimbulkan
sifat dengki, cukuplah berpakaian untuk menutup aurat dan selesa
bukannya untuk menarik perhatian. Cukuplah dengan harta yang kita ada
boleh digunakan untuk berjuang di jalan Islam, bukannya untuk
menunjukkan kemegahan.
Tidak salah untuk menambah harta dan
rezeki, untuk hidup lebih selesa. Tetapi ingatlah akan penyakit wahan,
janganlah membazir, banyakkanlah bersedekah dan amalkan sifat qanaah.
Kelak harta yang banyak akan digunakan dengan cara yang betul dan
diredhai oleh Allah.
“Dan orang yang apabila
membelanjakan, mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) bakhil,
melainkan di tengah-tengah antara yang demikian” (Surah al-Furqan 25
:67)
Justeru, amalkanlah hidup sederhana bukan
kedekut. Hidup secara bersederhana tidak menahan kita agar tidak
berbelanja sama sekali. Definisi yang paling tepat untuk kesederhanaan
adalah berbelanja mengikut keperluan,bukan keinginan dan nafsu
semata-mata. Saya menulis untuk memberi peringatan kepada diri sendiri,
untuk disampaikan kepada generasi seterusnya, bukan untuk membenci dan
dibenci.
No comments:
Post a Comment