Monday 16 March 2015

Kisah Kejayaan Datuk Jimmy Choo




Kisah Kejayaan Datuk Jimmy Choo
  • Dianugerahkan dengan gelaran ‘Datuk’ oleh Sultan Pahang atas kejayaannya dalam bidang fesyen.
  • Mendapat anugerah gelaran ‘Profesor’ oleh University of the Arts London atas sumbangannya dalam bidang fesyen.
  • Merupakan rakyat Malaysia pertama yang mendapat anugerah “Order of the British Empire” OBE (Knighthood) oleh Permaisuri England, Queen Elizabeth II pada tahun 2002.
  • Dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang juga membawa gelaran Dato’.
Siapa yang tidak kenal dengan figura terkenal ini?
Nama Jimmy Choo sinonim dengan kasut yang eksklusif dan bergaya. Beliau bukan sahaja seorang pereka kasut tetapi juga seorang tukang membuat kasut yang mahir dan pakar dalam menghasilkan hasil seninya. Beliau mendapat ilham dan inspirasi rekaannya daripada alam semula jadi seperti pokok dan bunga dan juga dari keadaan sekeliling seperti hiasan dalaman di tempat-tempat yang dilawatinya. Beliau sangat teliti dalam membentuk acuan kasut yang terdiri daripada bahagian atas, tapak dan tumit bagi memastikan kasut rekaannya seimbang supaya pemakai kasutnya berasa selesa dan selamat walaupun mengenakan kasut bertumit tinggi.

Jimmy Choo dilahirkan di Pulau Pinang, Malaysia pada tahun 1961 dalam sebuah keluarga di mana, ayahnya menjalankan perniagaan membuat kasut. Beliau mendapat pendedahan awal mengenai teknik pembuatan kasut daripada ayahnya iaitu seorang tukang kasut sepenuh masa.
Beliau bersekolah di Sekolah Rendah Shih Chung dan tamat pembelajaran beliau pada tahun enam. Beliau menolong ayahnya dan berjaya menghasilkan kasut pertama pada umur 11 tahun. Menyambung pengajian dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen di London. Pada tahun pertama, bapanya menanggung pengajiannya tetapi untuk 3 tahun yang seterusnya, beliau melakukan kerja secara separuh masa sebagai pencuci di restoran dan juga di kilang kasut demi mencari sesuap nasi dan menampung pengajiannya.
Selepas tamat pengajian, beliau mencuba untuk membuka kedai kasutnya dengan menyewa sebuah bangunan bekas hospital yang ditinggalkan. Beliau mengharungi 4 tahun yang mendukacitakan kerana jualan kasutnya amat menyedihkan. Setelah empat tahun bertungkus lumus, rekaan beliau mendapat liputan di Majalah Vogue, sebuah majalah fesyen terkenal di UK. Nama Jimmy Choo mula dikenali. Tetapi beliau masih kecewa kerana walaupun mendapat liputan media jualannya terus merosot.
Empat tahun berlalu apabila mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan beliau lantas membelinya sekitar tahun 1990. Semenjak daripada hari itu, dia terus jatuh cinta dengan rekaan Jimmy Choo dan menyebabkan nama Jimmy Choo terus melonjak di persada antarabangsa. Pada tahun 1996, beliau mengasaskan Jimmy Choo Ltd bersama Tamara Mellon, editor British Vogue. Pada April 2001, Choo menjual pegangan 50% dalam syarikat dengan harga sebanyak £ 10 juta untuk menumpukan kerja-kerja yang dilakukan pada Jimmy Choo Couture yang dihasilkan di bawah lesen daripada Jimmy Choo Ltd
.
Kini jenama Jimmy  Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan, serta menjadi kegilaan artis dan selebriti di serata dunia. Sepasang kasut wanita dijual sehingga mencecah beribu-ribu US dollar. Antara pelanggannya ialah Natalie Imbruglia dan Katie Holmes. Banyak orang terkenal memakai dan menempah kasut beliau. Kasut Jimmy Choo juga mula muncul dalam filem-filem terkenal seperti The Devils Wear Prada (kasut dipakai oleh Meryl Streep) dan In Her Shoes (kasut digayakan oleh Cameron Diaz). Kasut Jimmy Choo juga mula muncul dalam filem terkenal Hollywood seperti The Devils Wear Prada (Meryl Streep) dan In Her Shoes (Cameron Diaz).


STAIL PENGURUSAN
Datuk Jimmy Choo adalah pengurus atasan. Beliau bertanggungjawab dalam membuat keputusan mengenai arah tuju syarikat beliau iaitu Jimmy Choo Ltd. Beliau juga yang menubuhkan syarikat beliau sendiri dari hasil titik peluhnya. Sebagai pereka kasut dan beg tangan, beliau juga perlu memilih saluran komunikasi yang paling berkesan untuk memasarkan rekaan-rekaan terbarunya.
Peranan Jimmy Choo dalam stail pengurusan syarikatnya boleh ditafsirkan mengikut Mintzberg iaitu dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, dalam hubungan interpersonal iaitu sebagai ketua, pemimpin dan orang yang berhubung dengan pihak luar. Sebagai ketua, Datuk Jimmy Choo perlu melaksanakan tugas yang simbolik iaitu tugas-tugas yang bersifat sosial dan melayan pelanggan. Contohnya, Jimmy Choo melayan permintaan Puteri Diana secara peribadi untuk mendapat rekaan kasut yang terbaik mengikut cita rasa Puteri Diana. Oleh itu jugalah Jimmy Choo merupakan pereka kasut yang diminati oleh Puteri Diana semasa hayatnya di atas stail pengurusan Jimmy Choo yang berorientasikan pelanggan.

Kedua, Jimmy Choo juga bertindak sebagai pemberi maklumat iaitu memantau dalam syarikatnya, sebagai penyebar dan jurucakap. Sebagai penyebar, beliau perlu mengeluarkan memo mengenai keluaran-keluaran baru butiknya, membuat promosi, menawarkan diskaun, memberi perkhidmatan yang istimewa dan sebagainya bagi menarik minat pelanggan. Manakala sebagai jurucakap pula, Jimmy Choo perlu mengeluarkan kenyataan di media-media sama ada media massa, media cetak mahu pun media elektronik mengenai barang keluarannya.
Jika terdapat sebarang pertikaian mengenai barangannya juga, beliau perlu mengadakan media konferensi untuk menyelesaikan konflik tersebut. Sebagai contoh, Datuk Jimmy Choo mendapat anugerah OBE iaitu “Order of the British Empire” daripada Permaisuri England, Queen Elizabeth II. Dalam sebuah temu ramah, Datuk Jimmy menceritakan dia membaca perutusan daripada Queen Elizabeth untuk menerima anugerah tersebut sambil tangannya terketar ketar. Namun, hasil kesungguhan beliau yang selama ini menubuhkan syarikatnya membuat beliau berkeyakinan untuk menerima anugerah tersebut.

Ketiga, Jimmy Choo merupakan pembuat keputusan di dalam butik atau syarikatnya. Beliau adalah usahawan iaitu beliau perlu memikirkan apa yang terbaik untuk syarikatnya, bagaimana untuk mendapatkan pelanggan yang ramai dan cara untuk menjaga kualiti barangan rekaannya. Beliau juga bertindak sebagai penyelesai gangguan dalam syarikat. Contohnya, jika ekonomi merosot beliau perlu memikirkan cara-cara untuk mengatasinya. Beliau juga turut berperanan sebagai pengagih sumber iaitu langkah-langkah untuk membelanjakan sumber ke arah mana sama ada ke bahagian pemasaran atau pun bahagian pengurusan dan bahagian-bahagian lain. Sebagai pembuat keputusan, beliau turut mengambil peranan sebagai perunding. Beliau perlu berunding dengan pihak-pihak luar mengenai cita rasa mereka untuk menghasilkan rekaan yang terbaik. Beliau juga akan memberi pendapat beliau kepada pelanggannya mengenai kasut yang sesuai dengan pelanggan tersebut. Peranan Jimmy Choo sebagai perunding amat penting kepada pelanggannya untuk mereka membuat keputusan.


CABARAN YANG DIHADAPI DALAM MENGURUS SYARIKAT
Setiap perniagaan yang dimulakan mesti ada cabarannya dan rintangannya sendiri. Begitu juga dengan syarikat Jimmy Choo sendiri. Banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa diharungi oleh Datuk Jimmy sebelum mencipta kejayaan gemilang dalam bidang yang diceburinya.

Permulaan kisah beliau bermula apabila Jimmy Choo ingin meneruskan pelajaran di London selama empat tahun. Selepas meyakini ayahnya, iaitu Kee Yin untuk membiayai yuran untuk tahun pertama beliau belajar di London, beliau pun belajar dengan bersungguh-sungguh. Kursus yang beliau ambil adalah selama empat tahun dan beliau perlu bekerja untuk membiayai kehidupan dan yuran selama tiga tahun. Oleh itu, beliau pun bekerja sambilan sebagai pencuci di sebuah restoran dan kilang kasut untuk membiayai kehidupannya di sana.

Selepas tamat pengajian di London, Datuk Jimmy mencuba untuk membuka kedai kasutnya dengan menyewa sebuah bangunan bekas hospital yang ditinggalkan di Malaysia. Beliau mengharungi empat tahun yang mendukacitakan kerana jualan kasutnya amat menyedihkan. Namun beliau tidak berputus asa dan terus bertahan. Pada tahun keempat, salah satu rekaan Datuk Jimmy mendapat liputan di Majalah Vogue, sebuah majalah fesyen terkenal di UK. Nama Jimmy Choo mula dikenali. Tetapi beliau masih kecewa kerana walaupun mendapat liputan media jualannya terus merosot, sehingga pada satu masa dia terpaksa hidup dengan hanya memakan mi segera.

Namun, selepas empat tahun berlalu, nasib beliau berubah. Ditakdirkan mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan Jimmy Choo lantas membelinya. Semenjak dari hari itu, Puteri Diana terus jatuh cinta dengan rekaan Jimmy Choo. Nama Jimmy Choo terus melonjak dan jualannya menjulang ke langit. Kini Jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan, serta menjadi kegilaan artis dan selebriti di serata dunia.

Pelbagai cabaran yang dilalui oleh Datuk Jimmy, namun berkat kesungguhan beliau dalam mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar cita-citanya menyebabkan jenama Jimmy Choo terus gah sehingga sekarang. Terlalu banyak cabaran yang dilalui walaupun amat susah, namun Jimmy Choo mempunyai semangat yang sangat kuat untuk mengharunginya. Oleh itu, setiap cabaran merupakan sebuah langkah permulaan kepada kejayaan.

Walaupun beliau mengecapi kejayaan dan menikmati hidup yang mewah di London, namun hati beliau tetap di Malaysia. Ini dapat dilihat ketika beliau berucap di majlis-majlis umum di mana beliau sentiasa bercerita tentang Malaysia dengan penuh semangat. Malaysia masih menjadi pilihan utamanya sebagai tempat percutian. Antara sebab-sebab beliau memilih Malaysia adalah kerana keramahan masyarakat Malaysia sendiri dan juga pantai-pantai di Pulau Langkawi yang cantik dan tidak tercemar serta alam sekitarnya yang tenang. Beliau juga pasti tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah tempatan setiap kali beliau pulang ke tempat asalnya di Pulau Pinang. Beliau juga gemar melawat Kuala Lumpur. Pada pandangannya, kota yang sedang membangun dengan pesat ini mempunyai suasana yang penuh bertenaga serta turut menawarkan barangan pada harga yang berpatutan.

Beliau boleh dianggap sebagai duta Malaysia atas kejayaannya memperkenalkan nama Malaysia di dunia fesyen serta sentimen patriotik yang sentiasa diluahkan nya ketika berucap tentang negaranya. Secara berjenaka beliau pernah berkata, ingin dikenang sebagai seorang dewa kasut seperti Wah Toi, seorang dewa kasut dalam masyarakat Cina yang dipuja oleh Persatuan Pembuat Kasut Cina dari bahagian timur dunia. Pada hakikatnya, beliau sudah dianggap sebagai seorang dewa kasut memandangkan kasut rekaannya menjadi kegemaran pencinta-pencinta fesyen dan diiktiraf oleh dunia fesyen sejagat.

Baru-baru ini beliau bersama-sama duta makanan Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan telah dianugerahkan Anugerah Khas Kementerian Pelancongan kerana mempromosikan Malaysia di luar negara. Kedua-duanya menerima trofi daripada Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen di Anugerah Pelancongan Malaysia 2010 dan 2011 yang disaksikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun.

Beliau kini terlibat dalam projek untuk menubuhkan sebuah institut pembuatan kasut di Malaysia, di mana status ikonik beliau sering membangkitkan inspirasi kepada pembuat kasut tunas dan pereka fesyen.

sumber: http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/kisah-kejayaan-datuk-jimmy-choo.html#

No comments:

Post a Comment