Assalamualaikum...
Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah menjadi harta yang tiada ternilai bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan. Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam mempertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.
Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah S.W.T
Zinnirah adalah seorang wanita
berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar
di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk
dijadikan hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang
lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup
kental dan tabah.
Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya
secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk
golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah
Zinnirah. beliau telah menerima dengan sepenuh hati. Pada peringkat awak
keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara
sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau
bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh
syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.
Penderitaan ke atas Zinnirah ini
bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keIslamannya. Umar
telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu.
Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meninggalkan agama nenek
moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.
Umar Al-Khattab cukup terkenal
dengan sikap memusuhi Rasulullah S.A.W dan agama Islam sebelum
keIslamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.W. Beliau mencabar
sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan
tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup
kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang
telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua
Umar di Mekah supaya memeluk Islam.
Zinnirah menjadi mangsa awal di atas
sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum muslimin.
Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan
Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam.
Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak
terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalah rutin kehidupan
biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping
hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.
Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah
ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan
kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan.
Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan.
Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya.
"Ini untukmu Ya Allah. Aku
mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak.
Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana
aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat,
sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan." Inilah rintihan
hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di
setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia
hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.
Pengorbanan Zinnirah mendapat
cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya.
Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan
Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan
mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah
perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku.
Walaupun diuji dengan pelbagai rupa,
keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah
kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah
Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T.
dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan imannya semakin tinggi.
Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua
sumber:
http://akucintakanislam.blogspot.com/2013/04/zinnirah-seorang-wanita-srikandi-islam_3.html
http://akucintakanislam.blogspot.com/2013/04/zinnirah-seorang-wanita-srikandi-islam_3.html
No comments:
Post a Comment