Alangkah indahnya kehidupan orang kaya. Cakap sahaja apa yang
dimahukan, hampir semuanya boleh dapat. Malah, kalau pegi ke mana-mana,
ada sahaja yang hendak memberikan layanan ala first class. Jadi kalau
ditanya kepada sesiapa – mahukah menjadi papa ataupun muflis? Jawapannya
sudah tentu tidak!
Namun,
dalam pada ramai yang cuba mengelak daripada menjadi muflis di dunia,
ada antaranya pula terlupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar
tidak bankrap di akhirat. Sebab itulah ada yang ghairah mengaut kekayaan
dengan bermacam-macam cara sama ada ‘halal’ ataupun ‘haram’. Tetapi di
celah-celah itu juga masih ada terselit segelintir orang yang begitu
ghairah membuat persiapan untuk kaya di akhirat. Cuma sayangnya, mereka
papa pula di dunia.
Menurut Prof Madya Hj Mohd Nor Mamat,
pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, Universiti Teknologi
MARA, Shah Alam, seorang Muslim bukan hanya perlu mengejar kemewahan
duniawi, tetapi juga kekayaan akhirat. Ini bersandarkan kepada sepotong
ayat yang terdapat dalam kitab al-Quran.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Hendaklah tuntut kampung akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan
Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupakan bahagian (nasib) engkau
dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah
telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di
muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang
memperbuat bencana itu.” (al-Qashash:77)
Tegas beliau lanjut,
penilaian kepada muflis di dunia adalah bersandarkan kepada harta,
sementara akhirat pula adalah pahala. Justeru itu, untuk menjadi
individu kaya di ‘hari kemudian’ kelak, kekayaan harta dunia itu perlu
ditransformasi atau ditukarkan kepada bentuk pahala.
Lakukan Transformasi
“Kita tidak boleh mengejar kekayaan hanya untuk di dunia atau hanya untuk di akhirat sahaja. Kita juga tidak boleh menjadi bankrap di dunia semata-mata hendak menjadi kaya di akhirat. Kita kena kedua-duanya sekali. Sebab manusia yang paling baik adalah yang kaya di dunia dan kaya juga di akhirat. Dengan kata lain, dia kaya harta dan kaya pahala,” hurai beliau.
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor, individu kaya beruntung kerana dia boleh menukarkan aset dunianya bagi membolehkan dia membuat pelaburan pahala di akhirat. Hal ini berbeza pula dengan orang yang kurang berada, apalagi seorang fakir. Namun, golongan yang berada harus ingat – kalau hari ini dia kaya di dunia, tidak mustahil dia boleh menjadi muflis di akhirat gara-gara gagal menggunakan hartanya secara berhikmah di jalan Allah. Dan boleh jadi harta itu juga akan menyebabkan dia lengah masuk syurga.
Namun, bagi yang kurang berada pula,
walaupun peluang menggandakan pahala untuk akhirat tidak sebanyak orang
kaya, dia juga sebenarnya turut beruntung. Ini kerana kata Prof Madya Hj
Mohd Nor, kurang harta akan menyebabkan dia kurang berbuat dosa dalam
proses pengendalian harta yang ada.
Tidak dapat dinafikan bahawa
terdapat pelbagai cara untuk mengaut pahala demi kekayaan di akhirat.
Bagi yang berkemampuan dari segi material, sudah tentu membelanjakan
harta dalam bentuk yang diredai Allah boleh menukarkan ia kepada pahala.
Bagaimanapun, tegas beliau, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
“Syarat
pertama, benda yang kita belanjakan itu tidak termasuk dalam perkara
haram. Kedua, niat mestilah ikhlas kerana Tuhan. Ketiga, kena melakukan
dengan sedar. Jika tersilap bagi itu, itu termasuk dalam kategori tidak
sedar. Jadi tidaklah mendapat pahala. Dan yang keempat pula tidak
menafikan arahan-arahan Tuhan yang lain. Kalau cukup syarat tadi,
perbelanjaan harta kita akan bertukar kepada pahala akhirat,” jelasnya
sambil menambah semuanya itu turut dikenali sebagai syarat ibadah umum.
Mengulas
perihal ada orang yang sanggup menghabiskan keseluruhan hartanya untuk
bersedekah, Prof Madya Hj Mohd Nor berkata, itu bukanlah cara terbaik
untuk membuat pelaburan di akhirat. “Kalau kita hendak mendapatkan
banyak pahala sebagai saham di akhirat, janganlah pula sampai kita
melarat, tidak boleh hidup di dunia… Kita kena tengok model Rasulullah
SAW,” ujarnya.
>Mengulas
lanjut, beliau memetik kisah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad.
Baginda pernah bertanya kepada sahabat – siapa yang mahukan pahala di
akhirat dengan menginfakkan harta benda mereka? Lantas Abu Bakar bangun
dan berkata ya. Rasulullah bertanya berapa banyak? Dan Abu Bakar
memberitahu ingin menginfakkan keseluruhan hartanya sehingga yang
tinggal hanyalah rasul dan Tuhan.
Mendengar
kata-kata Abu Bakar, Nabi Muhammad terus berkata tidak boleh. Kemudian
Umar Al-Khattab pula menawarkan diri dengan menginfakkan separuh
daripada hartanya. Ini turut ditolak oleh baginda. Sebaliknya Rasulullah
menegaskan bahawa hanya satu pertiga sahaja yang boleh diinfakkan.
Selebihnya adalah untuk diri dan keluarga.
#latifabymadeenda in teal/pink
SHOP here
No comments:
Post a Comment